Kajian dari Mayo Clinic mendapati bahawa rawatan yang berkesan untuk
masalah keguguran rambut termasuklah penggunaan bahan yang mengandungi
minoksidil dan finasterid serta pembedahan seperti pemindahan rambut dan
pengurangan kulit kepala.
Namun, disebabkan oleh kosnya yang sangat tinggi, ramai yang
tertanya-tanya jika terdapat alternatif lain yang jauh lebih murah.
Jawapannya adalah, ya, memang ada, tetapi sama ada ianya mendatangkan
kesan yang sangat efektif adalah bergantung kepada keadaan rambut dan
kulit kepala anda.
Oleh itu, anda diminta untuk mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu
sebelum berpaling kepada cara rawatan yang lebih tradisional.
Menurut Vasant Lad, seorang pengarang buku "The Complete Book of
Ayurvedic Home Remedies", kandungan protein yang tinggi dalam kuning
telur mampu mengatasi masalah keguguran rambut di samping membantu
rambut untuk tumbuh dengan lebih cepat.
Selain protein, telur juga kaya dengan pelbagai vitamin seperti vitamin
A, E dan D. Vitamin A berfungsi meningkatkan penghasilan sebum serta
membantu mengurangkan kelemumur dan penebalan kulit kepala. Vitamin D
pula berupaya merangsang pertumbuhan rambut dan mengelakkan rambut
bercabang manakala vitamin E membaikkan penyerapan oksigen di dalam
rambut. Peredaran darah di sekitar kulit kepala dibantu oleh vitamin B
yang turut terkandung.
Asid lemak yang terdapat dalam telur juga berfungsi mengekalkan
kelembutan rambut di samping boleh mengurangkan masalah kelemumur, kulit
kepala mengelupas dan psoriasis.
Apa yang anda boleh lakukan adalah campurkan tiga kuning telur di dalam
mangkuk kecil dan pukulnya selama 60 saat. Campuran tersebut kemudiannya
disapu dan diurut di kulit kepala selama dua hingga tiga minit. Biarkan
selama 15 hingga 20 minit dan setelah itu barulah anda boleh mencuci
rambut dengan syampu yang sesuai.
Kandungan protein yang tinggi juga merupakan sebab mengapa telur adalah
salah sebuah pelembap yang terbaik untuk mencegah rambut kering. Dengan
teknik yang sama juga, campuran tiga biji telur yang dipukul itu boleh
disapu di seluruh rambut sebelum dibiarkan.
Rawatan ini boleh dibuat berulang kali dalam sehari asalkan ianya tidak
mengakibatkan iritasi kulit kepala. Sekiranya anda konsisten, kesan
perubahan yang lebih baik pasti boleh dilihat dalam kurang dari sebulan.
By Siti Munawirah Mustaffa
No comments:
Post a Comment