Kasih Ibu

Wednesday 5 March 2014

HUKUM TARIKAN Realisasikan Impian Anda



MENGAPA sesetengah orang itu sentiasa bernasib baik dan murah rezeki walau tidak begitu berusaha. Namun, di setengah pihak sebaliknya yang berlaku? Pastinya lintasan seumpama ini menerjah ke kotak fikiran tanpa kita sedari dan pergi begitu sahaja.

Ataupun situasi di mana pada hari itu kerja anda semuanya berjalan lancar tanpa ada sebarang masalah atau pada hari itu semua yang dipegang dan dilakukan serba tidak menjadi.

Paling logik kita melihat keadaan ini sebagai suratan takdir ataupun nasib kita sudah tertulis begitu sejak azali lagi.

Hakikatnya, Islam sendiri memberitahu umatnya, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka. (ar-Ra'du: 11)

Ayat di atas sudah jelas membuktikan bahawa nasib seseorang itu bukanlah takdir yang menentukan, sebaliknya manusia yang menentukan takdirnya sendiri.

Bertitik tolak dari situlah, Fakharoll Rodziee Don dan Faris Fahmi Ibrahim membuat kajian daripada buku-buku yang majoritinya berbahasa Inggeris dan akhirnya mereka temui tentang rahsianya yang dipanggil Hukum Tarikan.

Hukum Tarikan adalah kuasa atau hukum yang berlaku setiap hari dalam hidup kita tanpa kita sedari. Sebenarnya kita mampu mengawal dan menggunakannya bagi mencapai segala impian dalam hidup selagi tidak melanggar hukum yang ditetapkan Allah SWT dan tidak bercanggah dengan hak-hak orang lain.

Contoh situasi paling mudah untuk memahami Hukum Tarikan ialah kadangkala apa yang anda perlukan muncul di hadapan anda ataupun melalui panggilan telefon tanpa diduga? Ataupun ketika anda sedang memikirkan seseorang, tiba-tiba anda terserempak dengannya atau dia menghubungi anda? Mungkin anda beranggapan ia satu kebetulan tetapi sebenarnya, semua ini adalah pengalaman yang membuktikan Hukum Tarikan sememangnya wujud dalam hidup kita.

Menyedari majoriti terbitan yang menyentuh Hukum Tarikan adalah dalam versi bahasa Inggeris maka Fakharoll dan Faris mengambil keputusan untuk menterjemah buku Law of Attraction karangan Michael J. Losier sebagai langkah pertama dalam memperkenalkan Hukum Tarikan.

Pemilihan buku ini berdasarkan kaedah penerangan konsep Hukum Tarikan secara mudah dan senang difahami, selain menyediakan latihan dan tip yang berkesan.

Buku ini membongkar proses tiga-langkah yang terbukti berkesan, siap dengan tip, kaedah, latihan dan skrip yang menunjukkan kepada anda bagaimana cara mendapatkan apa yang anda inginkan.

Jadi, jika anda benar-benar ingin memahami kehidupan yang anda lalui dan ingin mengubahnya menjadi apa yang anda inginkan, maka inilah buku yang anda perlu cari dan miliki.

Kenyataan yang perlu diterima bahawa buku ini telah menjadi bahan bacaan wajib bagi banyak kumpulan jualan, syarikat rangkaian pemasaran, agen hartanah, penasihat kewangan dan pelbagai organisasi.


Sumber : Zuarida Mohyin, Utusan Malaysia




you might also like

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...