Kasih Ibu

Saturday 15 December 2012

Pneumokokal


JANGAN pandang remeh jika anak anda mendapat gejala berkenaan kerana dia mungkin diserang penyakit pneumokokal. Pneumokokal ialah kumpulan penyakit yang berpunca daripada bakteria streptococcus pneumoniae yang menyebabkan serangan pneumonia, otitis media (jangkitan telinga tengah), meningitis (radang lapisan otak) dan bakteremia (jangkitan kuman dalam darah).

KES 1: Bayi anda batuk dan selesema diikuti bronkitis dalam tempoh beberapa hari. Biarpun diberi ubat, suhu badannya meningkat melebihi 40 darjah Celsius.

KES 2: Si kecil mengalami demam lebih 36 jam, muntah, tidak mahu menyusu dan sering tidur.

Pneumokokal menjadi punca utama kematian yang boleh dicegah melalui pengambilan vaksin di kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun di serata dunia. Terdapat 13 jenis streptococcus pneumoniae yang menyebabkan 80 hingga 92 peratus penyakit itu di kalangan kanak-kanak kecil di seluruh dunia.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap tahun, penyakit ini meragut nyawa lebih 1.6 juta orang di seluruh dunia dengan separuh daripadanya kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah di negara sedang membangun.

Bagaimanakah seorang kanak-kanak boleh dijangkiti bakteria pneumokokal? Sebaik saja bakteria streptococcus pneumoniae memasuki badan, ia boleh merebak, menjangkiti darah dan menyebarkan ke seluruh badan. Jangkitan ini pada mulanya begitu ketara dan gejala mungkin sukar dibezakan daripada penyakit yang biasa menyerang kanak-kanak.

Jangkitan pada bahagian atas salur pernafasan mengakibatkan bakteremia, sepsis (keracunan dalam darah), meningitis dan pneumonia. Jika kuman streptokokus merebak dari dalam hidung ke bahagian atas saluran pernafasan, ia menyebabkan pneumonia (radang paru-paru), otitis media akut dan sinusitis (radang dalam hidung).

Kira-kira lima peratus kanak-kanak berumur bawah lima tahun yang mendapat serangan meningitis pneumokokal meninggal dunia kesan jangkitan bakteria atau mereka menghadapi masalah jangka panjang seperti buta dan hilang pendengaran.

Sekiranya penyakit itu tidak dirawat atau gagal dirawat, ia boleh merebak menjadi lebih serius sehingga mengakibatkan lumpuh, masalah pendengaran, lewat pertumbuhan, terencat akal atau membawa maut.

Pakar perunding pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, pencegahan sentiasa menjadi kunci kepada usaha menjauhkan penyakit kerana vaksin yang selamat dan berkesan kini boleh didapati untuk mencegah dan ia seharusnya dimasukkan ke dalam program imunisasi kebangsaan.

Beliau berkata, 66 peratus kematian akibat pneumokokal dilaporkan di negara yang padat penduduk seperti India, China, Bangladesh dan Pakistan.

Antara gejala penyakit ini ialah batuk, demam, jangkitan telinga tengah, jangkitan kuman pada paru-paru atau jangkitan pada darah.

Individu yang membawa bakteria streptococcus pneumoniae menerusi hidung mungkin berpotensi mendedahkan lebih banyak risiko pneumokokal menerusi pernafasan seperti bersin, batuk mahupun hembusan nafas.

“Kanak-kanak dan orang tua mempunyai risiko tinggi terhadap jangkitan penyakit pneumokokal kerana daya tahan melawan penyakit yang lemah. Selain itu, turut terdedah kepada jangkitan ialah kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah yang menghadiri pusat asuhan kanak-kanak atau tadika melalui bersin atau batuk,” katanya.

No comments:

Post a Comment

you might also like

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...